SYUKUR KE HADRAT ILAHI

Hari yang bahagia buat saya

“Alhamdullillah, kesihatan ayahanda semakin menunjukkan perkembangan baik menerusi rawatan diberikan doktor,” itulah kata-kata saya ketika ditanya wartawan sempena menyambut ulang tahun ke-62 ayahanda, Al Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota Kubang Kerian, 12 November lalu.

Saya amat berharap suasana ini berterusan pada tahun-tahun mendatang. InsyaAllah

Saya sememangnya bersyukur kerana ayahanda masih bersemangat dan terus menerus menunjukkan peningkatan memberangsangkan setiap hari. Saya amat berharap Baginda mampu menjalani hari-hari yang mendatang dengan penuh semangat.

Bersempena dengan ulang tahun ayahanda saya ini, saya berharap semua rakyat mendoakan kesejahteraan Baginda dan memastikan Baginda mampu memberi impak positif terhadap kesihatan Baginda dalam tempoh terdekat.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada kami sekeluarga menempuh hari-hari mencabar.

Kepada sekalian rakyat Kelantan dan yang berada di luar Kelantan, marilah kita sama-sama mendoakan ayahanda saya terus dipanjangkan usia dan bersama kita pada tahun-tahun akan datang. Terima kasih semua.

Buat ayahanda tersayang, saya zahirkan kemaafan dan mendoakan ayahanda kuatkan semangat serta sentiasaha gembira menempuhi hari mendatang.

Advertisements

Tuntut keadilan demi maruah

Kebenaran akan menjelma tatkala diizinkan Allah SWT

Hari ini 11.11.11, adalah tarikh keramat buat saya kerana pada saya ia merupakan satu hari yang amat istimewa buat semua manusia di dunia. Mungkin ada yang melakukan nazar dan tidak kurang juga melangsungkan perkahwinan pada waktu ini.

Begitu juga ayahanda saya, Al Sultan Ismail Petra yang akan menyambut hari lahirnya esok  – 12.11.2011- Selamat Harijadi Ayahanda, semoga ayahanda terus bersemangat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki hendakNYA.

Saya sebenarnya bukan ingin bercerita fasal tarikh ini, tetapi saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan saya yang membaca blog saya ini mengenai kehadiran saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap akhbar Malay Mail dan pencetak akhar tersebut serta dua yang lain.

Saya menamakan Malay Mail Sdn. Bhd. dan The New Straits Times Press (M) Bhd, dan Yushaimi Maulud Yahya serta Marhalim Abbas masing–masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Saman tersebut adalah berhubung artikel Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei 2010 yang mencemarkan nama dan reputasi saya sebagai manusia, malah ayat-ayat yang digunakan dalam artikel tersebut  antara lain membawa maksud “Saya  telah ditahan oleh polis untuk siasatan kes tembakan ke atas Ramli Mohamed (pengawal Istana Kelantan)”.

Sebenarnya, isu tuntutan itu bukanlah ingin direka cerita tetapi ia satu sumber yang bertepatan dengan diri saya sebagai anakanda kepada Sultan Ismail Petra iaitu Sultan Kelantan. Saya sebenarnya tidak boleh mengulas panjang soal ini kerana sudah difailkan di mahkamah, namun saya mahu semua pihak tahu bahawa keputusan yang saya buat ini adalah untuk menjernihkan semula maruah dan nama saya pada masyarakat.

Saya bukanlah seorang yang kejam sehingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk dari segi undang-undang Negara dan hukum hakam agama Islam. Saya tidak pernah mempunyai niat untuk menghancurkan kehidupan orang lain kerana ia bukanlah prinsip saya.

Saya dihantar belajar hingga ke luar Negara (England) bukan diasuh untuk menjadi penjenayah kepada Negara tercinta sebaliknya saya dididik oleh ayahanda dan bonda saya menjadi insan yang berguna buat masyarakat dan Malaysia amnya.

Jadi, saya kira apa yang saya lakukan ini adalah untuk mencari semula sinar yang lama hilang dalam hidup saya kerana artikel berkenaan. Oleh itu, saya berharap semua pihak sedar betapa saya juga manusia dan sudah pasti maruah serta nama perlu dijaga hingga akhir hayat.

Saya hanya inginkan masyarakat serta rakyat di Negara ini tahu saya adalah seorang yang tahu undang-undang Negara dan tidak akan lari daripada menegakkan agama Islam.

Sekian, terima kasih….Alhamdullillah

DAULAT TUANKU

KASIH AYAHANDA

MENGHADAP AYAHANDA DAN BONDA…Saya amat bersyukur ke hadrat ilahi betapamasih memberi peluang kepada saya untuk memohon ampun dan maaf kepada ayahanda dan bonda saya sempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 6 November lalu.

KASIH BONDA

Kesempatan manis yang saya perolehi ini amat menyentuh hati nurani saya kerana melihat ayahanda begitu riang dan gembira begitu juga wajah bonda saya sungguh bersinar di hari raya.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat kerana tidak pernah lupa memberi semangat dan doa segunung harapan untuk melihat ayahanda saya, Tuanku Ismail Petra terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan terhadap kesihatannya. Begitu juga wajah bonda saya semakin menampakkan kejernihan menyaksikan kemajuan itu.

Saya di sini mengucapkan salam kemaafaan dan Selamat Hari Raya kepada semua. Diharapkan ayahanda saya terus bersemangat.

Ibadah korban dan pengorbanan

Apakah pengorbanan yang kita janjikan di Aidiladha?

Pertamanya saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Korban buat semua umat Islam seluruh negara. Kepada para haji di Mekah, semoga Allah permudahkan amalan dan beroleh haji mabrur. Amin.

Kepada yang belum berkesempatan melaksanakan Rukun Islam kelima ini, raihlah semangat, ganjaran pahala dan ibrah di sebalik tarbiah yang terdapat dalam bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Imam Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Ibadah Korban

Saban tahun ribuan lembu, sapi, kambing dan unta akan dikorbankan di sepanjang 10 hingga 13 Zulhijjah di seluruh dunia. Sangat banyak hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai  keutamaan berkorban dan di dalamnya wujud pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya:

Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah SWT selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu.” [Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah]

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, apakah udhiyyah (korban) itu?”. Rasulullah menjawab: “Itulah sunnah ayahmu Ibrahim.” Para sahabat kembali bertanya: “Apakah yang kita akan peroleh dari udhiyyah itu?” Rasulullah menjawab lagi: “Pada setiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan.” [Riwayat Ahmad dan Ibn Majah]

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa ibadah korban adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim A.S. Bagi orang-orang yang melaksanakan korban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah dikorbankan itu. Selain itu juga korban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur.

Pengorbanan                                                                                

Kepada kita yang diberikan kelebihan kenikmatan dunia dan keamanan negara, marilah kita membantu saudara kita yang memerlukan. Daripada Rasulullah SAW dengan mafhumnya;

Allah akan menolong seorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.” [Riwayat Muslim]

Sesungguhnya bulan Zulhijjah penuh dengan ruh jihad mengajar umat Islam untuk berkorban, taat dan bersabar. Kisah Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar, Sarah dan Nabi Ismail menjadi ibrah yang besar kepada kita semua yang mahu mengambil pelajaran.

Kisah dan keteladanan Nabi Ibrahim A.S. memberikan pelajaran yang sangat mendalam kepada kita bahawa pengorbanan akan melahirkan keberkatan. Nabi Ibrahim A.S. menjadi orang yang paling dicintai Allah, khalilullah, imam, abul anbiya (bapa para nabi), hanif, sebutan yang baik, kekayaan harta yang melimpah ruah, dan banyak lagi. Hanya dengan pengorbananlah kita meraih keberkatan.

Apabila kita bertanyakan pada diri kita semua, pada saat ini sudah segigih mana kita umat Islam berkorban untuk umatnya. Hakikatnya pengorbanan akan memberikan keberkatan bagi kehidupan kita, keluarga kita dan umat Islam. Pengorbanan akan melahirkan peradaban besar. Kisah para pahlawan yang berkorban telah membuktikannya; Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya – Ismail, Ishaq, Siti Sarah dan Hajar; Muhammad SAW dan keluarga baginda – Siti Khadijah, ‘Aisyah, Fatimah, dan lain-lain.

Begitu juga para sahabat yang mulia; Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, dan lain-lain. Para pemimpin setelah sahabat, tabiin, dan tabi tabiin; Umar bin Abdul Aziz, Hasan Al-Basri, Muhammad bin Mubarak, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’i, dan Imam Ahmad. Tidak ketinggalan para pahlawan dari generasi moden juga telah mencontohkan kepada kita. Mereka di antaranya Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yasin dan ramai lagi. Dan kita yakin akan terus muncul lagi pahlawan-pahlawan baru yang siap berkorban demi kemuliaan Islam dan umatnya. Sesungguhnya, bumi yang disirami oleh pengorbanan para nabi, darah syuhada, pada dai yang ikhlas dan tinta ulama adalah bumi yang diberkati.

Keberkesanan

Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (QS. 49:10)

Sesungguhnya Hari Raya Korban juga merupakan momentum yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ritual ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat.  Hikmah ibadah haji merupakan taburan mutiara yang indah. Di dalamnya mentarbiah kita secara praktik tentang erti solidariti sosial, ukhuwah Islamiah, perdamaian, kesucian, kebersihan, kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui agihan sembelihan korban. Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama kita, menguatkan hubungan dengan Allah SWT dan juga menguatkan hubungan sesama manusia, dan itu merupakan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Justeru Aidiladha merupakan pengorbanan sebagai buah dari kesedaran akan nilai-nilai luhur dalam hal perjuangan menghindari egoisme peribadi dan juga kelompok. Kita adalah umat yang bersaudara yang asasnya adalah bertaqwa kepada Allah. Hanya generasi yang bertaqwa mampu memimpin umat untuk bersatu hati menjiwai semangat kebersamaan.

Kepimpinan Nabi Ibrahim A.S., adalah prototaip manusia atau hamba Allah yang semenjak awal tidak mementingkan diri sendiri bahkan juga terhadap kelompoknya. Bagi Nabi Ibrahim A.S., yang terpenting adalah bahawa setiap perbuatan harus ikhlas dilaksanakan, diabdikan untuk mensyukuri kurnia Allah SWT yang telah banyak dilimpahkan serta dikerjakan untuk membawa mashlahat (kebaikan) bagi manusia dan alam, tanpa membeza-bezakan darjat, agama, geografi dan bangsa. Dengan demikian, Nabi Ibrahim A.S. merupakan simbol keteladanan sosial bagi kita dalam menjalin kebersamaan dan menebar empati untuk semua”.

Penutup

Zulhijjah akan berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan dan juga bulan-bulan yang lain. Peluang demi peluang Allah berikan untuk kita nikmati rahmat dan nikmatNya juga Rahman dan Rahimnya Allah. Moga Zulhijjah kali ini membawa pengertian yang lebih mendalam bagi setiap kita. Penghayatan yang lebih hakiki dan ikhlas demi melahirkan tindakan dan perlakuan yang seiring dengan apa yang telintas di hati. Harapan agar baki usia yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi memastikan tempat yang indah di syurga.

21 tahun Kelantan di bawah Pas, apa faedahnya?

Mungkin ini yang dikejar pemimpin Pas Kelantan...kekayaan semata-mata...

Bermacam ragam orang kita bila laporan Ketua Audit Negara menegur kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan – ada yang menyanggah, ada yang memberontak dan tidak kurang pula yang menganggukkan kepala menyatakan kebenaran kegagalan barisan kepimpinan dikepalai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kekecewaan saya terhadap kemajua negeri kelahiran saya ini sudah lama terpendam di dalam jiwa dan batin saya. Saya tidak tahu mengapa selepas 20 tahun memerintah Kelantan, barisan kepimpinan Pas masih lagi di takuk lama dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan, pendek kata tiada faedah yang boleh dikecapi melainkan retorik semata-mata.

Laungan Allahuakbar sering didengari dan ia memang mengusik jiwa. Namun di sebalik laungan itu, pemimpin Pas masih lagi berpeluk tubuh melihat kegagalan mereka melunaskan janji menjadikan rakyat Kelantan semakin maju.

Bila saja mendengar berita bahawa Ketua Audit Negara menegur Kerajaan Kelantan yang banyak kegagalan daripada kejayaan, terutama soal fardhu kifayah dengan membina rumah mampu milik serta keperluan air yang hanya mencukupi untuk golongan tinggi, saya kira sudah sampai masanya rakyat buat pilihan terbaik untuk menuju masa depan lebih cemerlang.

Untuk mendengar alasan pemimpin Pas jauh sekali – kerana ia adalah satu bentuk teguran yang sememangnya adil (saya kira) dan Nik Abdul Aziz perlu terimanya secara rasional di sebalik kegagalan beliau dalam menyusun strategi kejayaan dan kemajuan buat negeri tercinta.

Di mana wang peruntukan sebanyak RM19 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk bina rumah mampu milik dan apa yang saya baca dalam alporan ia sepatutnya membabitkan 838 unit rumah.

Dalam tempoh RMK-9 tiada langsung projek RAKR dibina sebagaimana yang dirancang malah pembinaan projek sambungan RMK-8 secara usaha sama melibatkan dua blok pangsapuri yang mempunyai 160 RAKR di Wakaf Mek Zainab tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebanyak 56 daripada 100 unit rumah yang dibina di RAKR Gaal, Pasir Puteh belum dapat dijual walaupun projek tersebut siap tahun 2007.

Sehingga akhir tahun 2010, tunggakan ansuran sewa beli dan sewa rumah berjumlah RM9.40 juta. Seramai 56 pembeli belum menjelaskan bayaran pembelian rumah secara terus berjumlah RM2.45 juta walaupun rumah tersebut diduduki/diserah kunci melebihi setahun.

Audit turut memberi pandangan bahawa kelemahan perancangan menyebabkan pelaksanaan projek RAKR di Kelantan tidak dapat dilaksanakan.

Kegagalan Kerajaan Negeri membina rumah sebagaimana yang dirancang menyebabkan rakyat memerlukan rumah kos rendah, tidak dapat memilikinya terutama bagi 1,913 pemohon yang berdaftar sehingga akhir tahun 2010.

Laporan itu turut menyatakan sepanjang tempoh perlaksanaan RAKR Kelantan (1976-2010) sebanyak 4,768 unit rumah dibina oleh kerajaan Negeri.

Daripada jumlah itu sebanyak 3,746 unit dibina untuk jualan secara sewa beli, 778 unit untuk jualan terus manakala 244 unit lagi untuk disewa.

Kajian juga mendapati kira-kira 400,000 rakyat negeri ini masih belum memiliki rumah. Kerajaan Pas Kelantan dalam tempoh 21 tahun memegang Kelantan tidak pernah membina rumah murah untuk rakyat malahan rumah yang dibangunkan di Kelantan kebanyakkannya bernilai RM150,000 ke atas, yang tidak mampu dibeli golongan berpendapatan rendah.

Bila kita lihat segala laporan ini – saya teringat kisah bahawa bagaimana Zoo Kuala Krai yang kecilpun tidak mampu dijaga rapi oleh Kerajaan Pas sedangkan itulah satu-satunya zoo yang wujud di Kelantan.

Jika kita renung perkara itu, memang benarlah mengapa Pas tidak mampu bina rumah untuk kesenangan rakyat kerana untuk memberi perlindungan kepada haiwan yang semakin pupus pun mereka (pemimpin Pas) tidak mampu.

Jadi, saya fikir perkataan Pas – Tiada Faedahnya sudah cukup untuk semua pemimpin parti itu berundur supaya dapat lihat rakyat Kelantan maju pada masa depan. Insyaallah….

Wasiat Raja-Raja Melayu – Rahsia Yang Terpendam

 

 

Peliharalah Malaysia

 

Pada tanggal 6 Ogos sewaktu menurunkan tanda tangan sebagai bersetuju untuk membolehkan Kemerdekaan diisytiharkan, ke semua wakil Raja-Raja Melayu telah menurunkan sebuah wasiat untuk dihayati oleh warga bangsa selepas merdeka di mana wasiat tersebut berbunyi:

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejathtera.”

  1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (Sekarang Malaysia)
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak-anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kami rebutlah bersama-sama kaum lain.
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar negara.
  4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.
  5. Kami isytiharkan ISLAM agama Persekutuan.
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN BANGSA MELAYU.

Komen –

Berdasarkan apa yang saya baca daripada wasiat ini, semuanya jelas sekali betapa sempurnanya bangsa, agama dan negara kita andai ia dilaksanakan secara berhemah. Saya amat berharap supaya semua pihak renunglah semula wasiat ini untuk pastikan bangsa kita dijaga, agama kita terus dipelihara, negara kita disayangi. Apa yang penting, kekuatan Raja-Raja Melayu diperhebatkan demi maruah bangsa, agama dan negara kita.- FBI Inside

 

HUDUD: POLEMIK ATAU CARI POPULARITI?

Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat dalam isu hudud yang kini saya melihat sudah sampai ke peringkat kontroversi. Yang menghairankan saya, mengapa ia mahu diperdebatkan sebaik sahaja ‘gong’ pengumuman Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) sudah hampir menjenguk.

Jika diimbas kembali isu ini, sebenarnya adakah ia permainan politik terbaru kepimpinan Pas ataupun hanya retorik daripada pemimpin tertinggi Pas yang ‘gemar’ melaungkan isu berkenaan tatkala memulakan kempen sebelum temasya PRU13 bermula.

Saya sebenarnya tidak mahu mengajar barisan ulama’ dalam Pas, tetapi pandangan saya dalam hal ini agak berbeza kerana pemimpin tertinggi parti berkenaan lebih gemar menyalahkan semua orang berhubung isu ini. Adakah mereka benar-benar mahu melaksanakannya atau lebih kepada kepentingan politik beliau?

Hudud adalah undang-undang yang diperturunkan oleh Allah S.W.T, sepatutnya ia diamalkan atau dilaksanakan tanpa perlu perdebatan manusia biasa seperti kita. Tetapi, adakah cara pemimpin sebegini tepat demi menjaga maruah politiknya yang semakin pudar atau kegagalan diri mereka untuk meneruskan legasi menerajui Kelantan pada pilihanraya nanti?

'Perang paling besar adalah perang nafsu'

Saya ingin berkongsi satu riwayat – jika tidak silap saya membacanya – iaitu sebuah kisah Nabi Muhammad S.A.W ketika menyampaikan khutbah Jumaat tiba-tiba Baginda diterjah seorang Badwi yang menanyakan Baginda, bilakah Hari Kiamat? Pertanyaan pertama tidak dijawab Baginda dan sekali lagi orang Badwi berkenaan ‘meninggikan suara’ sehingga membangkitkan amarah sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W terhadap orang Badwi berkenaan.

Baginda terdiam kerana tiada ilham ketika itu untuk menjawab soalan orang Badwi berkenaan mengenai ketibaan Hari Kiamat, namun dengan izin Allah S.W.T, datanglah teraju Malaikat Jibrail untuk membenarkan Nabi Muhammad S.A.W menjawab soalan berkenaan dengan jawapan (selepas kali kedua ditanya) – iaitu ‘Kiamat itu pasti dan hampir, apakah persediaan kamu menghadapinya (Kiamat)? tanya Rasullullah kepada orang Badwi berkenaan.

Orang Badwi pun menjawab, aku tidak ada persediaan, selain menyintai kamu sebagai utusan Allah S.W.T.

Nabi Muhammad S.A.W pun membalas, “Jika begitu kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu cintai”.

Lantas, orang Badwi berkenaan berlalu pergi tanpa memasuki masjid mahupun menunaikan solat Jumaat.

Mungkin ramai akan bertanya apakah moralnya kisah ini dengan hukum hudud. Moralnya – dapat kita lihat Islam itu adalah agama yang berteraskan kepada kasih sayang, cinta menyintai, hormat menghormati, merendah diri, tidak kira apa darjat sekali pun hatta sekasar orang Badwi.

Jelas Islam itu tidak bergerak di atas nafsu keegoaan semata-mata. Justeru, adakah ini yang kita amalkan dengan berhujah demi nafsu politik ataupun menegakkan hukum Tuhan.

Jadi, polemik hudud itu bolehlah direnungkan bersama-sama sebagai tiket kemenangan nafsu atau tiket ke syurga.

Saya dengan rendah diri, menyarankan supaya pemimpin tertinggi menilai semula peranan Pas yang berimejkan Islam. Kerana, apa yang saya lihat kebanyakan pemimpin parti berkenaan yang ada pada masa ini terkeliru dengan nafsu serakah demi kepentingan diri.

Apa yang saya bimbangkan, jika pelaksanaan hukum hudud berlaku, risau jika ada pemimpin Pas yang dipotong tangan, dikerat lidah dan dipenggal kepalanya kerana nafsu mengatasi iman.

Malah, lebih merisaukan saya kerana jika terlaksananya hukum hudud, semua tidak akan terlepas, tak kiralah golongan pemimpin atau rakyat biasa dari hukuman yang dijatuhkan mereka, mungkin ada ahli keluarga terdekat yang bakal dipotong tangan atau dipenggal kepala kerana jenayah yang dilakukan. Wallahu’alam…..

BUDI BAHASA BUDAYA KITA – JANGAN SEKADAR RETORIK

BUDI BAHASA BUDAYA KITA –  slogan yang sering kita dengar pada akhir-akhir ini… baik dalam media percetakan ataupun elektronik.

Kita sering mengajak orang lain untuk mengamalkan budaya ini (siap buat aduan lagi sekiranya ada kakitangan di mana-mana rangkaian jabatan Kerajaan yang gagal mengimplimentasikan amalan ini)…tetapi adakah kita sendiri mengamalkan budaya ini..?

Tepuklah dada Tanya diri kita sendiri…jangan pula kita menepuk dda dan Tanya selera kita, kerana selalunya kita akan mengikut nafsu dan pastinya ia akan menjadi buas kerana kita adalah manusia.

Ironinya, saya mahu bercakap sedikit mengenai perasaan hormat kepada orang lebih tua daripada kita dan saya melihat keadaan ini semakin hari semakin pudar dengan hanya menunggu masa sebelum hilang ditelan arus pemodenan.

Pelbagai cara buat kita semua menunjukkan sifat menghormati orang lain, sebagai contoh – kebanyakan orang muda zaman sekarang lebih cenderung menggunakan apa saja yang terkeluar daripada mulut mereka, malah ada yang beranggapan bahawa soal hormat menghormati adalah perkara remeh dan tidak patut diamalkan.

Ada pula sesetengah orang kita, hanya menggunakan frasa abang atau kakak apabila bertemu dengan orang sememangnya amat dihormati atau hanya kepada orang yang dia terpaksa menggunakan panggilan sebegitu – pendek kata lebih kepada ‘terpaksa’.

Sebagai orang Islam kita sepatutnya menghormati sesama insane, terutama orang seagama kita, kerana itulah adab kita..jadi jangan mengambil perkara ini sebagai ringan kerana sesetengah orang yang bukan beragama Islam akhirnya memeluk Islam disebabkan perkara ini..Ingatlah bahawa semua orang Islam itu bersaudara dan disebabkan kita bersaudara, kita perlu menghormati semua orang yang lebih tua daripada kita sebagaimana kita menghormati keluarga kita..

Hakikatnya, saya mahu menjelaskan bahawa slogan yang dicipta iu bukan hanya sekadar retorik untuk menunjukkan kejahilan diri kita sendiri.

Yang penting, jangan sesekali pemodenan dan kemajuan zaman sekarang, kita perlu melupakan tradisi lama kita iaitu menghormati orang lain.

Saya mahu kita semua menilai diri sendiri dengan jujur dan ikhlas. Kemudian kita nilailah diri sendiri sama ada selama ini kita sudah menghormati orang lain ataupun tidak..sekiranya kita mahu dihormati orang, kita kena menghormati orang lain terlebih dahulu..WALLAHU A’LAM

Bajet Najib dan PRU Melayu

Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri kita baru-baru ini sememangnya menggambarkan pelbagai harapan. Inilah pengaruh tersembunyi untuk meraih keyakinan rakyat. Untuk masa ini bangsa majoriti Malaysia adalah Melayu yang sudahpun sedikit tersisih dan masih menagih…. tidak kira di pihak pembangkang atau pro Kerajaan. Semua inginkan jaminan hidup berwarisan. Apatah lagi orang Melayu yang masih ketinggalan.

Selepas bajet, fikir akan terarah kepada Pilihanraya Umum ke-13 secara total. Yang penting adalah tiada lagi perpecahan. Cantumkan semula perpaduan dalam satu keyakinan. Buang semua parasit bangsa yang mementingkan kuasa,diri sendiri dan rasuah.

Apa yang penting, saya mohon pihak Kerajaan menumpukan kepada kedudukan rakyat yang teringgir, terutama Melayu yang saya sifatkan semakin jauh hati kerana mereka melihat Kerajaan banyak member tumpuan kepada bangsa lain, terutama melaui pelbagai slogan yang dilaksanakan.

Kita gunakan kekuatan ini untuk memulakan politik berwibawa yang berhemah. Kita bina semula rakyat yang “berjiwa amalan” agama masing-masing yang sayangkan SEMUA bangsa di Malaysia. Kita hapus semua dilema Melayu sepenuhnya.

IBU KOTA Kuala Lumpur, bersama kita mampu jadikan kehidupan yang aman untuk semua.

Malaysia adalah  Negara Kita. Kita semua berhak dan bertanggungjawab terhadap masa depan semua rakyatnya yang betul-betul setia bersedia untuk berkorban walau apapun dugaan melanda.

Kepada Allah jua kita kembali. Insya Allah.

Justeru, saya amat berharap Bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini akan menangani rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu yang dirasakan agak ketara sejak kebelakangan ini.

Rasa tidak puas hati yang membawa kepada pelbagai tuntutan itu berpunca daripada tanggapan dan tafsiran berbeza yang dibuat terhadap konsep 1Malaysia yang dibawa dalam  pentadbiran Najib.

Saya terpanggil untuk beri komen bahawa sekarang ini orang Melayu melihat layanan banyak diberi kepada orang Cina dan mereka tak ada apa-apa. Saya harap Bajet (2012) ini, kerajaan imbangi layanan kepada orang Melayu.

Dengan itu barulah akan hilang perasaan marah terhadap Najib dan barisan pemimpin Kerajaan supaya elak segala polemik dan unsure berat sebelah.

Saya sememangnya tidak menolak bahawa salah tafsir sememangnya wujud  terhadap konsep 1Malaysia menyebabkan orang Melayu merasakan perlunya ada sekolah satu aliran manakala orang bukan Melayu mahu hak Bumiputera dihapuskan.

Jadi dengan itu sukar bagi kita untuk memikir bahawa hanya dengan slogan itu saja maka akan berlakulah perpaduan.

Saya harap Datuk Seri Najib sedar bahawa orang Melayu rasa terkilan, mereka berasa dianaktirikan. Saya tidak menolak Najib perlu jaga kepentingan bukan Melayu, tetapi beliau wajib menjaga hak Melayu yang sudah terpelihara sejak berzaman.

Jadi, untuk PRU 13 nanti, saya mohon kekuatan Melayu terus diperkukuhkan demi Malaysia.