Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat dalam isu hudud yang kini saya melihat sudah sampai ke peringkat kontroversi. Yang menghairankan saya, mengapa ia mahu diperdebatkan sebaik sahaja ‘gong’ pengumuman Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) sudah hampir menjenguk.

Jika diimbas kembali isu ini, sebenarnya adakah ia permainan politik terbaru kepimpinan Pas ataupun hanya retorik daripada pemimpin tertinggi Pas yang ‘gemar’ melaungkan isu berkenaan tatkala memulakan kempen sebelum temasya PRU13 bermula.

Saya sebenarnya tidak mahu mengajar barisan ulama’ dalam Pas, tetapi pandangan saya dalam hal ini agak berbeza kerana pemimpin tertinggi parti berkenaan lebih gemar menyalahkan semua orang berhubung isu ini. Adakah mereka benar-benar mahu melaksanakannya atau lebih kepada kepentingan politik beliau?

Hudud adalah undang-undang yang diperturunkan oleh Allah S.W.T, sepatutnya ia diamalkan atau dilaksanakan tanpa perlu perdebatan manusia biasa seperti kita. Tetapi, adakah cara pemimpin sebegini tepat demi menjaga maruah politiknya yang semakin pudar atau kegagalan diri mereka untuk meneruskan legasi menerajui Kelantan pada pilihanraya nanti?

'Perang paling besar adalah perang nafsu'

Saya ingin berkongsi satu riwayat – jika tidak silap saya membacanya – iaitu sebuah kisah Nabi Muhammad S.A.W ketika menyampaikan khutbah Jumaat tiba-tiba Baginda diterjah seorang Badwi yang menanyakan Baginda, bilakah Hari Kiamat? Pertanyaan pertama tidak dijawab Baginda dan sekali lagi orang Badwi berkenaan ‘meninggikan suara’ sehingga membangkitkan amarah sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W terhadap orang Badwi berkenaan.

Baginda terdiam kerana tiada ilham ketika itu untuk menjawab soalan orang Badwi berkenaan mengenai ketibaan Hari Kiamat, namun dengan izin Allah S.W.T, datanglah teraju Malaikat Jibrail untuk membenarkan Nabi Muhammad S.A.W menjawab soalan berkenaan dengan jawapan (selepas kali kedua ditanya) – iaitu ‘Kiamat itu pasti dan hampir, apakah persediaan kamu menghadapinya (Kiamat)? tanya Rasullullah kepada orang Badwi berkenaan.

Orang Badwi pun menjawab, aku tidak ada persediaan, selain menyintai kamu sebagai utusan Allah S.W.T.

Nabi Muhammad S.A.W pun membalas, “Jika begitu kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu cintai”.

Lantas, orang Badwi berkenaan berlalu pergi tanpa memasuki masjid mahupun menunaikan solat Jumaat.

Mungkin ramai akan bertanya apakah moralnya kisah ini dengan hukum hudud. Moralnya – dapat kita lihat Islam itu adalah agama yang berteraskan kepada kasih sayang, cinta menyintai, hormat menghormati, merendah diri, tidak kira apa darjat sekali pun hatta sekasar orang Badwi.

Jelas Islam itu tidak bergerak di atas nafsu keegoaan semata-mata. Justeru, adakah ini yang kita amalkan dengan berhujah demi nafsu politik ataupun menegakkan hukum Tuhan.

Jadi, polemik hudud itu bolehlah direnungkan bersama-sama sebagai tiket kemenangan nafsu atau tiket ke syurga.

Saya dengan rendah diri, menyarankan supaya pemimpin tertinggi menilai semula peranan Pas yang berimejkan Islam. Kerana, apa yang saya lihat kebanyakan pemimpin parti berkenaan yang ada pada masa ini terkeliru dengan nafsu serakah demi kepentingan diri.

Apa yang saya bimbangkan, jika pelaksanaan hukum hudud berlaku, risau jika ada pemimpin Pas yang dipotong tangan, dikerat lidah dan dipenggal kepalanya kerana nafsu mengatasi iman.

Malah, lebih merisaukan saya kerana jika terlaksananya hukum hudud, semua tidak akan terlepas, tak kiralah golongan pemimpin atau rakyat biasa dari hukuman yang dijatuhkan mereka, mungkin ada ahli keluarga terdekat yang bakal dipotong tangan atau dipenggal kepala kerana jenayah yang dilakukan. Wallahu’alam…..

Advertisements