Apakah pengorbanan yang kita janjikan di Aidiladha?

Pertamanya saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Korban buat semua umat Islam seluruh negara. Kepada para haji di Mekah, semoga Allah permudahkan amalan dan beroleh haji mabrur. Amin.

Kepada yang belum berkesempatan melaksanakan Rukun Islam kelima ini, raihlah semangat, ganjaran pahala dan ibrah di sebalik tarbiah yang terdapat dalam bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Imam Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Ibadah Korban

Saban tahun ribuan lembu, sapi, kambing dan unta akan dikorbankan di sepanjang 10 hingga 13 Zulhijjah di seluruh dunia. Sangat banyak hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai  keutamaan berkorban dan di dalamnya wujud pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya:

Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah SWT selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu.” [Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah]

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, apakah udhiyyah (korban) itu?”. Rasulullah menjawab: “Itulah sunnah ayahmu Ibrahim.” Para sahabat kembali bertanya: “Apakah yang kita akan peroleh dari udhiyyah itu?” Rasulullah menjawab lagi: “Pada setiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan.” [Riwayat Ahmad dan Ibn Majah]

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa ibadah korban adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim A.S. Bagi orang-orang yang melaksanakan korban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah dikorbankan itu. Selain itu juga korban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur.

Pengorbanan                                                                                

Kepada kita yang diberikan kelebihan kenikmatan dunia dan keamanan negara, marilah kita membantu saudara kita yang memerlukan. Daripada Rasulullah SAW dengan mafhumnya;

Allah akan menolong seorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.” [Riwayat Muslim]

Sesungguhnya bulan Zulhijjah penuh dengan ruh jihad mengajar umat Islam untuk berkorban, taat dan bersabar. Kisah Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar, Sarah dan Nabi Ismail menjadi ibrah yang besar kepada kita semua yang mahu mengambil pelajaran.

Kisah dan keteladanan Nabi Ibrahim A.S. memberikan pelajaran yang sangat mendalam kepada kita bahawa pengorbanan akan melahirkan keberkatan. Nabi Ibrahim A.S. menjadi orang yang paling dicintai Allah, khalilullah, imam, abul anbiya (bapa para nabi), hanif, sebutan yang baik, kekayaan harta yang melimpah ruah, dan banyak lagi. Hanya dengan pengorbananlah kita meraih keberkatan.

Apabila kita bertanyakan pada diri kita semua, pada saat ini sudah segigih mana kita umat Islam berkorban untuk umatnya. Hakikatnya pengorbanan akan memberikan keberkatan bagi kehidupan kita, keluarga kita dan umat Islam. Pengorbanan akan melahirkan peradaban besar. Kisah para pahlawan yang berkorban telah membuktikannya; Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya – Ismail, Ishaq, Siti Sarah dan Hajar; Muhammad SAW dan keluarga baginda – Siti Khadijah, ‘Aisyah, Fatimah, dan lain-lain.

Begitu juga para sahabat yang mulia; Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, dan lain-lain. Para pemimpin setelah sahabat, tabiin, dan tabi tabiin; Umar bin Abdul Aziz, Hasan Al-Basri, Muhammad bin Mubarak, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’i, dan Imam Ahmad. Tidak ketinggalan para pahlawan dari generasi moden juga telah mencontohkan kepada kita. Mereka di antaranya Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yasin dan ramai lagi. Dan kita yakin akan terus muncul lagi pahlawan-pahlawan baru yang siap berkorban demi kemuliaan Islam dan umatnya. Sesungguhnya, bumi yang disirami oleh pengorbanan para nabi, darah syuhada, pada dai yang ikhlas dan tinta ulama adalah bumi yang diberkati.

Keberkesanan

Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (QS. 49:10)

Sesungguhnya Hari Raya Korban juga merupakan momentum yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ritual ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat.  Hikmah ibadah haji merupakan taburan mutiara yang indah. Di dalamnya mentarbiah kita secara praktik tentang erti solidariti sosial, ukhuwah Islamiah, perdamaian, kesucian, kebersihan, kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui agihan sembelihan korban. Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama kita, menguatkan hubungan dengan Allah SWT dan juga menguatkan hubungan sesama manusia, dan itu merupakan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Justeru Aidiladha merupakan pengorbanan sebagai buah dari kesedaran akan nilai-nilai luhur dalam hal perjuangan menghindari egoisme peribadi dan juga kelompok. Kita adalah umat yang bersaudara yang asasnya adalah bertaqwa kepada Allah. Hanya generasi yang bertaqwa mampu memimpin umat untuk bersatu hati menjiwai semangat kebersamaan.

Kepimpinan Nabi Ibrahim A.S., adalah prototaip manusia atau hamba Allah yang semenjak awal tidak mementingkan diri sendiri bahkan juga terhadap kelompoknya. Bagi Nabi Ibrahim A.S., yang terpenting adalah bahawa setiap perbuatan harus ikhlas dilaksanakan, diabdikan untuk mensyukuri kurnia Allah SWT yang telah banyak dilimpahkan serta dikerjakan untuk membawa mashlahat (kebaikan) bagi manusia dan alam, tanpa membeza-bezakan darjat, agama, geografi dan bangsa. Dengan demikian, Nabi Ibrahim A.S. merupakan simbol keteladanan sosial bagi kita dalam menjalin kebersamaan dan menebar empati untuk semua”.

Penutup

Zulhijjah akan berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan dan juga bulan-bulan yang lain. Peluang demi peluang Allah berikan untuk kita nikmati rahmat dan nikmatNya juga Rahman dan Rahimnya Allah. Moga Zulhijjah kali ini membawa pengertian yang lebih mendalam bagi setiap kita. Penghayatan yang lebih hakiki dan ikhlas demi melahirkan tindakan dan perlakuan yang seiring dengan apa yang telintas di hati. Harapan agar baki usia yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi memastikan tempat yang indah di syurga.

Advertisements