Kebenaran akan menjelma tatkala diizinkan Allah SWT

Hari ini 11.11.11, adalah tarikh keramat buat saya kerana pada saya ia merupakan satu hari yang amat istimewa buat semua manusia di dunia. Mungkin ada yang melakukan nazar dan tidak kurang juga melangsungkan perkahwinan pada waktu ini.

Begitu juga ayahanda saya, Al Sultan Ismail Petra yang akan menyambut hari lahirnya esok  – 12.11.2011- Selamat Harijadi Ayahanda, semoga ayahanda terus bersemangat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki hendakNYA.

Saya sebenarnya bukan ingin bercerita fasal tarikh ini, tetapi saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan saya yang membaca blog saya ini mengenai kehadiran saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap akhbar Malay Mail dan pencetak akhar tersebut serta dua yang lain.

Saya menamakan Malay Mail Sdn. Bhd. dan The New Straits Times Press (M) Bhd, dan Yushaimi Maulud Yahya serta Marhalim Abbas masing–masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Saman tersebut adalah berhubung artikel Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei 2010 yang mencemarkan nama dan reputasi saya sebagai manusia, malah ayat-ayat yang digunakan dalam artikel tersebut  antara lain membawa maksud “Saya  telah ditahan oleh polis untuk siasatan kes tembakan ke atas Ramli Mohamed (pengawal Istana Kelantan)”.

Sebenarnya, isu tuntutan itu bukanlah ingin direka cerita tetapi ia satu sumber yang bertepatan dengan diri saya sebagai anakanda kepada Sultan Ismail Petra iaitu Sultan Kelantan. Saya sebenarnya tidak boleh mengulas panjang soal ini kerana sudah difailkan di mahkamah, namun saya mahu semua pihak tahu bahawa keputusan yang saya buat ini adalah untuk menjernihkan semula maruah dan nama saya pada masyarakat.

Saya bukanlah seorang yang kejam sehingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk dari segi undang-undang Negara dan hukum hakam agama Islam. Saya tidak pernah mempunyai niat untuk menghancurkan kehidupan orang lain kerana ia bukanlah prinsip saya.

Saya dihantar belajar hingga ke luar Negara (England) bukan diasuh untuk menjadi penjenayah kepada Negara tercinta sebaliknya saya dididik oleh ayahanda dan bonda saya menjadi insan yang berguna buat masyarakat dan Malaysia amnya.

Jadi, saya kira apa yang saya lakukan ini adalah untuk mencari semula sinar yang lama hilang dalam hidup saya kerana artikel berkenaan. Oleh itu, saya berharap semua pihak sedar betapa saya juga manusia dan sudah pasti maruah serta nama perlu dijaga hingga akhir hayat.

Saya hanya inginkan masyarakat serta rakyat di Negara ini tahu saya adalah seorang yang tahu undang-undang Negara dan tidak akan lari daripada menegakkan agama Islam.

Sekian, terima kasih….Alhamdullillah

Advertisements